Hebahan Jangkitan Covid-19 Makin Tidak Terkawal

10 Januari 2021 | Aktiviti Terkini

Hebahan ini dilakukan melalui beberapa medium melalui perkongsian di media sosial seperti Facebook page, akaun instagram dan laman Whatsapp group. Perkongsian ini bagi memberi pendedahan dan menyampaikan kempen hebahan dengan lebih jelas serta secara meluas.

Pakar-pakar kesihatan awam mengakui beberapa negeri di Malaysia mengalami kenaikan kes Covid-19 yang cepat dan tidak terkawal berdasarkan kadar pertumbuhan kes baharu secara kumulatif selama 14 hari.

Menurut Pakar Epidemiologi Universiti Malaya (UM), Datuk Profesor Dr Awg Bulgiba Awg Mahmud, kadar kenaikan yang cepat dan tidak terkawal ini disebabkan beberapa faktor antaranya, kegagalan untuk mengkuarantin pelawat dari Sabah pada bulan Ogos dan September tahun lalu serta kegagalan untuk menyaring pekerja dan warga asing.Menurut Dr Awg Bulgiba, ia turut disebabkan kegagalan untuk memperbaiki perumahan pekerja warga asing dan memahami tingkah-laku semasa pandemik.

Menurut beliau juga, ia disebabkan oleh kurangnya penjujukan genom untuk memahami varian virus ini, penggunaan strategi yang tidak holistik dan banyak lagi turut menjadi penyumbang kepada peningkatan kes yang mendadak.

Katanya lagi, kenaikan ini tidak seragam dan akan membebankan fasiliti kesihatan sehingga menyebabkan kita tidak mempunyai pilihan lain selain mengubah strategi daripada containment (pembendungan) kepada mitigation (pengurangan). Jelas beliau lagi, Pesakit Tahap 1 dan 2 mungkin perlu diasingkan di rumah dan hanya pesakit Tahap 3 hingga 5 yang perlu diasingkan di hospital. Ini memerlukan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan ketat untuk memastikan tiada penularan dalam kalangan warga lain.Untuk rekod, pesakit tahap 1 bermaksud pesakit tiada gejala; tahap 2, pesakit bergejala ringan tapi tiada radang paru-paru; tahap 3, pesakit bergejala dengan radang paru-paru; tahap 4, pesakit bergejala dengan radang paru-paru dan memerlukan oksigen serta tahap 5, pesakit kritikal dengan penglibatan pelbagai organ.Dalam pada itu, jumlah kes yang tinggi melebihi angka 2,000 dapat dilihat sejak seminggu lalu dan pada Khamis negara mencatatkan rekod harian tertinggi dengan 3,027 kes, malah jumlah kematian mencecah 521 kes.

Tambah Awg Bulgiba, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga mungkin perlu diperkenalkan semula untuk beberapa negeri yang menghadapi kenaikan kes yang tinggi di mana kadar kes (dalam tempoh 14 hari kebelakangan ini) melebihi 100 untuk setiap 100,000 penduduk seperti Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Negeri Sembilan.Ternyata Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dijalankan untuk membendung kenaikan kes tidak berjaya kerana ia adalah separuh jalan sahaja dan tidak berjaya mengurangkan pergerakan penduduk.Oleh yang demikian, ada kemungkinan kerajaan akan menjalankan PKP secara bersasar untuk beberapa negeri disebabkan kerajaan sudah tidak ada pilihan lagi.Cuma perlu diingatkan PKP akan membebankan rakyat jadi pelaksanaannya perlu dirancang dengan teliti.

Pakar Virologi, Profesor Dr Sazaly Abu Bakar turut mengakui pelaksanaan PKP adalah salah satu cara yang terbukti berkesan memutuskan arus kenaikan kes harian.Dr Sazaly menyatakan bahawa negara telah sampai ke tahap kritikal dan menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham, sistem kesihatan negara tidak mampu lagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.Sazaly berkata, PKP bersasar yang lebih meluas mungkin perlu dilaksanakan bagi memastikan objektif memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 itu berjaya.Ujar Dr Sazaly ,pelaksanaan PKP bersasar yang lebih meluas mungkin boleh dilaksanakan melibatkan daerah atau mukim.

Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan:

Kembali Ke Atas

kembali