Pakej bantuan Malaysia antara terbesar di dunia
6 Ogos 2021 | Aktiviti TerkiniHebahan ini dilakukan melalui beberapa medium melalui perkongsian di media sosial seperti Facebook page, akaun instagram dan laman Whatsapp group. Perkongsian ini bagi memberi pendedahan dan menyampaikan kempen hebahan dengan lebih jelas serta secara meluas.
Perbelanjaan pakej bantuan bernilai RM530 bilion yang diumumkan kerajaan antara yang terbesar di dunia, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Katanya, kerajaan mengumumkan lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi sejak wabak COVID-19 melanda negara, yang diperkukuhkan lagi dengan belanjawan terbesar dalam sejarah negara menerusi Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion.
Menurut beliau, pada tahun 2020 saja, di tengah-tengah kegawatan ekonomi global yang dikatakan adalah yang paling teruk sejak Perang Dunia Kedua, kerajaan masih komited dan mampu untuk melaksanakan pakej bantuan keseluruhan bernilai RM305 bilion atau 22.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Beliau mengulas lagi bahawa ini adalah antara perbelanjaan terbesar berbanding pakej rangsangan negara lain seperti Indonesia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, lapan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan rakyat yang telah diumumkan setakat ini berpegang kepada empat elemen utama. Antaranya ialah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai usaha mengurangkan penularan wabak; memperkasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi membina ketahanan diri.
Ujar beliau lagi, dengan memperkenalkan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi untuk memastikan kehidupan rakyat terpelihara dan memulih semula ekonomi; dan memperkenalkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada krisis COVID-19.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi adalah berlandaskan tiga aspek yang menjadi tonggak kepada perlindungan kesihatan rakyat serta pemulihan ekonomi negara. Tonggak pertama adalah melindungi nyawa melalui pengukuhan sistem kesihatan awam dan vaksinasi kebangsaan; Kedua, melindungi rakyat; dan ketiga, menjamin kelangsungan perniagaan.
Sumber: Berita Harian Online, 5/8/2021.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: