Bersedia bayar lebih untuk pinjaman

4 Julai 2022 | Aktiviti Terkini

Hebahan ini dilakukan melalui beberapa medium melalui perkongsian di media sosial seperti Facebook page, akaun instagram dan laman Whatsapp group. Perkongsian ini bagi memberi pendedahan dan menyampaikan kempen hebahan dengan lebih jelas serta secara meluas.

Pengguna dan peminjam dijangka perlu membayar kadar faedah pembiayaan yang lebih tinggi pada separuh kedua tahun ini jika Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sehingga 50 mata asas (bps) atau 0.5 peratus.

Ini kerana, apabila berlaku perubahan pada kadar OPR, maka sudah semestinya ia akan turut memberi kesan kepada pembiayaan yang dilakukan oleh mereka dengan bank.

Apabila OPR dinaikkan, maka pinjaman atau pembiayaan yang berasaskan kadar apungan akan meningkat sama dan menyebabkan jumlah pembayaran bulanan turut bertambah dan sebaliknya apabila kadar OPR turun.

Penganalisis Hartanah, Ahyat Ishak, berkata sebagai contoh, untuk pembiayaan perumahan sebanyak RM500,000 dengan tempoh 30 tahun pada kadar keuntungan 3.0 peratus, jumlah pembayaran setiap bulan ialah sebanyak RM2,108.

Namun apabila, OPR meningkat 50 bps, maka kadar keuntungan pembiayaan ini juga bertambah menjadi 3.5 peratus dan jumlah pembayaran meningkat kepada RM2,245, iaitu kenaikan RM137.

AmBank Research dalam nota kajiannya baru-baru ini menjangkakan BNM akan meningkatkan OPR sebanyak 50 bps, susulan langkah bank pusat itu dalam membendung inflasi.

Kenaikan sebanyak 50 bps akan menjadikan OPR kepada 2.50 peratus, selepas kenaikan 25 bps dibuat oleh BNM pada Mei 2022 lalu.

Sementara itu perunding kewangan bebas, Abuayubul Ansari, berkata dalam situasi semasa, segala kos akan bertambah, malah orang awam yang tidak membuat pinjaman pun akan terasa bahangnya kerana kos semua barang akan mula naik.

Katanya, ini kerana selain daripada pelbagai faktor, kos meminjam bagi perniagaan akan meningkat yang dengan sendirinya menjadi punca kepada kenaikan harga produk atau pun perkhidmatan.

Sumber: Berita Harian Online, 04/07/2022.

Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan:

Kembali Ke Atas

kembali